Sarah Raymo, 32, ditangkap pada Januari lalu selepas khabar angin tersebar di sekitar Bay City, Michigan bahawa dia meniduri seorang daripada pelajar gred lapan.
Mangsa yang namanya tidak boleh didedahkan atas faktor usia, memberi keterangan di mahkamah pada lapan bulan lalu bahawa dia melakukan hubungan seks dengan Raymo sebanyak enam hingga lapan kali, sama ada di sekolah atau di rumah gurunya itu.

Wanita tersebut, yang telah berkahwin sewaktu diberkas pada awal tahun ini, sepatutnya dibicarakan pada hujung September lalu, tetapi menukar pengakuan kepada bersalah terhadap dua pertuduhan salah laku jenayah seksual.
 Ini membolehkan empat lagi tuduhan salah laku seksual yang menyediakan hukuman lebih berat digugurkan.

Hakim yang menjatuhkan hukuman tersebut pada November lalu, menyifatkan hubungan intim yang tidak sepatutnya dilakukan oleh guru dan muridnya itu sebagai sesuatu yang ‘dahsyat’. Hukuman maksimum bagi pertuduhan itu ialah penjara 15 tahun.
Ketika hukuman dijatuhkan, Raymo dilihat menggeletar dan bernafas dengan kencang, sambil mengesat air mata, lapor MLive.com seperti yang dipetik oleh mailonline.com. Wanita itu enggan memberikan sebarang kenyataan.
“Sebagai seorang guru, anak-anak murid kamu menaruh kepercayaan terhadap kamu,” kata Hakim Kenneth W Schmidt.
“Namun, kepercayaan itu telah dicabuli apabila kamu memilih untuk sanggup dan rela mengadakan hubungan seksual dengan seorang daripada anak murid kamu, tanpa menghiraukan keadaan sekeliling kamu.
“Keadaan ini telah memberi kesan yang sangat besar terhadap mangsa. Dia terpaksa pindah sekolah dan menjalani terapi,” kata beliau.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira segalanya termasuk fakta bahawa wanita tersebut telah mencabuli kepercayaan yang diberikan oleh murid-murid yang meningkat remaja kepadanya sebagai seorang guru.
Walau bagaimanapun, peguam Matthew Reyes yang mewakili Raymo mendakwa, hakim tersebut terkhilaf semasa menjatuhkan hukuman.
“Keputusan ini adalah salah. Saya tidak rasa hakim tersebut mengetahui fail (kes ini) sebagaimana saya mengetahuinya,” kata Reyes.
Reyes setuju bahawa apa yang dilakukan oleh anak guamnya adalah salah, tetapi beliau tidak melihat tindakan guru wanita itu sebagai tingkah laku seorang pemangsa.

Dalam satu kenyataan, Reyes menjelaskan, meskipun mangsa tidak boleh merelakan perlakuan seks dengan Raymo disebabkan faktor usianya, namun murid tersebut yang telah memulakan hubungan itu dengan mengirim surat yang berunsur lucah.
Mangsa didakwa mula bersembang dengan gurunya itu melalui jurnal bilik darjah, sebelum beralih pula kepada perbualan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Selepas itu, Raymo pada satu hari telah meminta pelajarnya kekal berada di dalam kelas selepas waktu sekolah dan mereka berdua kemudian melakukan hubungan seks di dalam bilik darjah.

Kisah mereka berdua mula terbongkar selepas pelajar itu mula memberitahu rakan-rakannya tentang hubungan tersebut yang kemudian tersebar di sekolah.
“Saya sedar bahawa mangsa tidak boleh melakukan hubungan seksual secara rela, tetapi mangsa bukannya tidak mampu untuk memulakan perbualan berunsur lucah,” menurut Reyes.
Ibu bapa mangsa tidak hadir ke mahkamah ketika hukuman dijatuhkan tetapi Penolong Ketua Pendakwa Raya, Nancy E Borushki membacakan kenyataan yang disediakan bagi pihak mereka.

“Apa yang begitu jelas kepada ibu bapa mangsa dan saya sendiri adalah ini merupakan situasi seseorang yang mengambil kesempatan daripada anak mereka.
“Terlalu banyak yang telah diperkatakan di luar sana tentang betapa beruntungnya mangsa, dan ini kononnya bukan satu masalah besar, tetapi (sebenarnya) ia adalah satu masalah besar bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga ibu bapanya,” menurut kenyataan tersebut.