BUTTERWORTH - Seorang datuk berusia 50 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth semalam atas tuduhan merogol, meliwat dan melakukan seks luar tabii ke atas dua cucu saudaranya yang berumur tujuh dan lapan tahun.

Tertuduh, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan didakwa melakukan perbuatan itu pada waktu malam antara 24 November hingga 11 Januari 2015 lalu di rumahnya di Permatang Pauh.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 2, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membabitkan rogol dan melakukan seks luar tabii ke atas cucu yang berusia tujuh tahun.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 1, tertuduh dituduh di hadapan Hakim Julie Lack mengikut Seksyen 37(C) Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas seorang lagi cucunya yang berusia lapan tahun.

Mahkamah menetapkan 9 Mac ini untuk sebutan semula kedua-dua kes setelah tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah.

Kedua dua hakim juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya agar tertuduh tidak dikenakan ikat jamin.