SHAH ALAM - Selepas hampir dua bulan PR diselubungi krisis yang tercetus akibat isu jawatan Menteri Besar Selangor, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa usaha dibuat supaya pakatan itu dapat diselamatkan.

Beliau mengakui, selepas kejayaan PR memenangi 52 peratus undi popular dalam PRU13 lalu, soalan yang mula timbul dalam minda rakyat adalah sama ada PR akan terus wujud sebagai pakatan untuk bertanding dalam PRU14.

Menyifatkan krisis terbaharu itu sebagai terburuk dalam sejarah PR, Kit Siang berkata, penegasan semula dasar bersama PR dan prinsip konsensus akan mengembalikan keyakinan rakyat dan menyelamatkan PR daripada menjadi pakatan yang hanya bertahan untuk satu PRU.

Menurutnya, dua faktor itu penting dalam kejayaan PR memenangi 89 kerusi Parlimen dan 229 kerusi Dun (tidak termasuk Sarawak) serta terus menafikan majoriti dua pertiga BN dalam Parlimen pada PRU13.

Kit Siang juga menegur Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikatakan merosakkan prinsip konsensus PR apabila Abdul Hadi enggan mematuhi konsensus dicapai Majlis Pimpinan PR dalam mesyuarat pada 23 Julai dan 17 Ogos.

"Bagaimana PR dan Majlis Pimpinan PR hendak berfungsi jika konsensus tidak dijadikan prinsip untuk panduan operasi PR?

"PR perlu kaji bagaimana kerjasama ini boleh diteruskan dan saya cadangkan pembentukan jawatankuasa kerja merangkumi tiga atau empat wakil dari setiap parti komponen untuk membuat kajian dan cadangan," katanya dalam tulisan di blog beliau, semalam.

Beliau turut mengakui PR menghadapi kerosakan teruk akibat krisis berpanjangan Menteri Besar Selangor, yang diheret lebih 45 hari daripada yang sepatutnya selepas pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR pada 9 Ogos lalu.

Kit Siang turut mengulangi senario yang mungkin berlaku jika sokongan terhadap PR terus menurun, seperti yang dikatakannya semasa majlis makan malam DAP Petaling Jaya di Bukit Gasing, Sabtu lalu.

Katanya, jika keputusan PRK Pengkalan Kubor di Kelantan baru-baru ini diunjurkan bagi semua kerusi Dun di Kelantan, BN mampu merampas semula kerajaan negeri itu daripada Pas.

"Peratusan undi dimenangi oleh calon Pas dan PR menurun 4.5 peratus daripada 35 peratus dalam PRU13 kepada 30.5 peratus (di PRK Pengkalan Kubor).

"(Unjuran menunjukkan) BN boleh memenangi 25 kerusi Dun berbanding 12 kerusi Dun dalam PRU13, bermakna BN boleh menguasai kerajaan Kelantan," katanya.